Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Kali ke-51 SK Sungai Burong Berlangsung Meriah di Dewan Jubli Intan
SUNGAI BURONG, 24 Mei 2025 (Sabtu) – Sekolah Kebangsaan Sungai Burong telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-51 bertempat di Dewan Jubli Intan, dengan kehadiran para ibu bapa, guru serta barisan pentadbiran sekolah.
Majlis yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu dimulakan dengan pendaftaran kehadiran ibu bapa dan guru, diikuti oleh nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa, serta ucapan alu-aluan daripada Guru Besar SK Sungai Burong, Encik Mazlan Bin Imam dan Yang Dipertua PIBG, Pn Salibah Binti Saari.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Sazarul Zakry bin Dato' Sri Zainal Abidin, merangkap Presiden MAYDA Malaysia dan Pengerusi MAYDA Tanjong Karang, yang turut dijemput sebagai tetamu kehormat. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan peranan PIBG dalam membentuk jaringan sokongan antara sekolah dan komuniti setempat.
“PIBG bukan sahaja menjadi jambatan antara ibu bapa dan pihak sekolah, malah berfungsi sebagai penyumbang utama dalam usaha memperkasakan pendidikan generasi pada masa hadapan seperti melentur buluh Biarlah dari rebungnya” ujar beliau.
Majlis diteruskan dengan gimik pelancaran Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-51 dan penyampaian cenderahati kepada barisan AJK PIBG sesi 2024/2025 serta penghargaan kepada perasmi. Sesi bergambar turut diadakan sebagai kenangan bersama seluruh warga sekolah, tetamu jemputan dan ibu bapa.
Mesyuarat berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama padu daripada semua pihak yang hadir. Para ibu bapa menunjukkan minat yang tinggi dalam membincangkan hala tuju pembangunan akademik dan sahsiah pelajar di SK Sungai Burong.
Mesyuarat Agung PIBG kali ke-51 ini bukan sekadar satu pertemuan tahunan, malah menjadi simbol kepada semangat kebersamaan antara guru, ibu bapa dan komuniti dalam menjayakan sistem pendidikan yang holistik dan inklusif. Pihak MAYDA mengucapkan Ribuan terima kasih atas kesudian pihak sekolah menjemput YBhg. Sazarul Zakry dalam merasmikan acara PIBG tahun ini.
@lensamayda
Comments
Post a Comment