Kejohanan Sukan Tahunan Kali ke-75 SK Kuala Selangor Disambut Meriah
KUALA SELANGOR, 24 Mei 2025 (Sabtu) – Padang Sekolah Kebangsaan Kuala Selangor kembali meriah dengan sorakan dan semangat kesukanan apabila berlangsungnya Kejohanan Sukan Tahunan SK Kuala Selangor Kali Ke-75. Acara berprestij ini telah bermula seawal 7.30 pagi hingga 2.00 petang, dan melibatkan penyertaan aktif daripada seluruh warga sekolah termasuk murid, guru serta ibu bapa.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua PIBG, Tuan Shahrizal Bin Jailani hadir bersama tetamu jemputan khas, YBhg. Sazarul Zakry bin Dato’ Sri Zainal Abidin, Presiden MAYDA Malaysia merangkap Pengerusi MAYDA Tanjong Karang yang juga figura aktif dalam pembangunan komuniti pendidikan dan sukan di daerah ini.
Pelbagai acara balapan dan padang telah dijalankan, termasuk acara lumba lari, lari berganti-ganti, dan sukaneka. Kehadiran murid-murid yang berpakaian mengikut rumah sukan masing-masing menceriakan suasana dan membangkitkan semangat kesukanan yang tinggi.
Salah satu detik yang mencuri tumpuan ialah sesi penyampaian pingat kepada para pemenang di pentas podium. Wajah-wajah ceria para atlet cilik yang menerima penghargaan jelas mencerminkan hasil latihan, disiplin, dan semangat juang yang tinggi. Ucapan tahniah diberikan kepada semua peserta, pemenang dan guru-guru penasihat rumah sukan atas usaha gigih mereka.
YBhg. Sazarul Zakry dalam lawatannya turut mengambil peluang beramah mesra dengan guru-guru serta menyampaikan sumbangan makanan kepada pihak pengurusan kejohanan sukan. Sumbangan berbentuk pek makanan ini disediakan untuk menyokong kelancaran acara dan menghargai petugas yang bertungkus-lumus menjayakan program.
Beliau turut menyatakan komitmen berterusan MAYDA dalam mendukung aktiviti-aktiviti pembangunan pelajar dan institusi pendidikan melalui program sukan, motivasi serta pembangunan sahsiah.
Kejohanan sukan ini ditutup dengan penuh meriah selepas sesi penyampaian hadiah dan acara penutup rasmi oleh pihak sekolah. Para ibu bapa turut pulang dengan perasaan bangga menyaksikan prestasi anak-anak mereka di padang.
@lensamayda
Comments
Post a Comment